Abad ke-21, seorang suami berikhtiar menyelamatkan isterinya yang menhidap tumor otak yang diparahkan lagi dengan kehadiran kanser, lalu menjadi kisah klasik pada abad yang akan datang. Penghujung abad ke-22, terciptanya Huda yang membolehkan minda manusia mengawal komputer 100 peratus dan penyakit-penyakit abad lalu diperangi semudah bersin. Tiada penyakit, umur yang panjang tanpa dimakan usia, manusia bagaikan hidup selama-lamanya, namun sebagaimana kisahnya Dr.Ajal dan Dr.Nayla, apa-apa yang ditetapkan Tuhan mengatasi segala-galanya.
Dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth dan dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah. Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik, suka melancong dan membaca. Pada tahun 2006 menang tempat pertama peraduan mengarang cerpen sempena kempen Budi Bahasa Budaya Kita anjuran Kekwa, pada tahun 2008 menang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007, kategori novel remaja menerusi novel Gadis Adikara dan pada tahun 2009 menang tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 menerusi novel Jendela Menghadap Jalan. Manakala Waris Pejuang menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 juga di tempat kedua.
Buku ini menggabungkan emosi yakni cinta dan sains fiksyen, satu gabungan yang menarik untuk sebuah novel sains fiksyen. Serius, pengetahuan aku tentang dunia perubatan tidak banyak, dan aku tidak menyangka pula novel ini banyak istilah perubatan yang digunakan, serta situasi dalam bilik bedah, situasi tegang antara pesakit dengan doktor dengan ahli keluarga ditonjolkan dengan baik.
Susah nak aku gambarkan kerana membaca Ajal sangat berbeza tapi sayang aku masih hairan kenapa berada di bawah novel Klon. Dan tangan aku jadi lemah apabila Ruhaini Matdarin 'bercerita' bagaimana pisau bedah itu mula membelah kulit kita, mencari penyakit yang telah menghantui kita dari dulu dan akan berada di dalam tubuh kita buat selama-lamanya.
Kerana mereka iaitu doktor sentiasa berusaha menjadi jalan untuk menyelamatkan kita sehingga Tuhan sudah tetapkan seseorang itu perlu mati.
Sebuah buku yang bertemakan fiksyen sains & teknologi yang berlatarbelakangkan dunia pada masa hadapan, penceritaan novel ini memberi tumpuan kepada perubatan. Pada waktu itu, penyakit yang ada pada dunia hari ini telah hilang dan menjadi sejarah yang hanya boleh dilihat di arkib atau muzeum. Judul Ajal yang menjadi tajuk novel ini bukan merujuk kepada kematian, ia adalah kisah tentang seorang doktor yang bernama Ajal yang berusaha mencari cara untuk melawan kanser setelah kematian isterinya yang berpunca daripada penyakit tersebut. Dr. Ajal menjadi lagenda klasik kerana menjadi perintis kepada teknologi mengesan dan melawan penyakit pada masa hadapan. Dengan teknologi yang sofistikated, menjadikan dunia tiada penyakit dan memberikan umur yang panjang kepada manusia dan berita kematian menjadi sesuatu yang aneh pada manusia. Sebuah cerita yang menarik, diselitkan dengan istilah-istilah perubatan dan bayangan teknologi pada masa hadapan dan bagaimana kehidupan manusia pada masa itu. Manusia bergantung sepenuhnya pada teknologi dan teknologi ciptaan manusia sendiri yang mengawal manusia. Manusia boleh mencipta teknologi untuk panjangkan umur dan mengelakkan penyakit, tetapi teknologi ciptaan tidak boleh mencegah penuaan dan manusia tidak boleh menggelak dari kematian. Bak kata-kata pada awal buku, Ajal adalah sains besar tuhan yang tidak boleh dipersoalkan.
Mundane. Ada keenakan dalam naratif Ruhaini Matdarin kali ini. Ada kesedihan dalam utopia. Ada satu perasaan dingin tetapi indah. Cuma tiada hook yang membolehkan pembaca seperti aku terdorong untuk membelek dari satu lembaran ke lembaran seterusnya. Pembacaan jadi singkat kerana naskhah yang nipis.